Sunday 2 December 2012

UMNO SERANG PLURALISME, LGBT





Oleh : NOMY NOZWIR

KUALA LUMPUR : Pada hari terakhir perbahasan perhimpunan agung Umno ke 66, perwakilan menyerang golongan LGBT, penyokong pluralisme dan liberalisme ketika perwakilan membahaskan isu agama dan pendidikan, dicadangkan oleh perwakilan dari Kelantan, Ustaz Mohd Afandi bin Yusoff.

Mohd Afandi berkata, gejala LGBT, pluralisme dan liberalisme sangat membimbangkan.

“Jikalau Melayu dibenarkan tukar agama, apa nak jadi dengan anak-anak kita,” kata Mohd Afandi, merujuk kepada kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang didakwa menyokong orang Melayu untuk keluar dari Islam (murtad).

Perwakilan dari Sabah, Datuk Ariffin Ariff berkata, pluralisme itu adalah ajaran dari Abu Jahal, manakala liberalisme adalah ajaran iblis.

“Pluralisme gurunya adalah Abu Jahal, semasa zaman Rasulullah dahulu, Abu Jahal cuba berdamai dengan Rasulullah dengan berkata, hari ini saya sembah Tuhan kamu, dan esok kamu sembah Tuhan kami.

“Sebab itu turunnya surah Al-Kafiruun - lakum di lukum waliadin (aku dengan agamaku, kamu dengan agamamu),” kata Ariffin dalam perbahasan.

Sementara itu, perwakilan dari Pulau Pinang, Mohd Shaharudin Mohd Hassan Tajuddin mencadangkan untuk menubuhkan pusat pemulihan mak nyah untuk menangani LGBT.

“Kita tak boleh biarkan golongan ini, kita kena bimbing mereka ke jalan yang benar,” kata Mohd Shaharudin.

Shaharudin juga mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang kerana melarang bacaan suci Al-Quran dibacakan melalui pencorong suara di masjid.

“Walaupun kita akur dengan arahan Mufti Pulau Pinang, tetapi kita musykil kenapa arahan ini tidak ada semasa BN memerintah Pulau Pinang dulu?” kata Shaharudin.

Shaharudin menambah, khutbah Jumaat di masjid Pulau Pinang amat mengelirukan kerana ia sudah berbunyi seperti ceramah politik.

“Kadang-kadang bila saya solat Jumaat, saya keliru apakah ini khutbah atau ceramah politik.

“Solat Jumaat juga semakin pelik apabila imam mengaminkan doa untuk kesejahteraan ketua menteri tokong, Lim Guan Eng, bukannya Yang di-Pertuan Agong,” kata Mohd Shaharudin lagi.

Sementara itu, perwakilan Perlis, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya berkata, rakyat seharusnya taat kepada pemimpin.

“Kebaikan pemimpin adalah kebaikan untuk rakyat. Semasa Nabi Musa mahu menentang Firaun, Allah berfirman kepada Nabi Musa agar berbicara dengan baik,” katanya.

Fathul Bari juga mengkritik PAS yang mengeluarkan kenyataan berbelit-belit memurtadkan Umno.

“Dia (Datuk Nik Aziz Nik Mat) kata, dia tak memurtadkan ahli, tetapi parti yang murtad kerana katanya Umno buang Islam.

“Mana mungkin tertubuhnya sebuah parti politik kalau tiada ahli? Bagaimana dia kata Umno ini murtad kalau perlembagaan Umno fasal 3 berkata kita mesti mengembangkan syiar Islam?

“Saya mencadangkan usul supaya kita adakan kempen 1Malaysia tolak fitnah,” kata Fathul Bari lagi.

Kelmarin adalah hari terakhir perbahasan sebelum diakhiri oleh ucapan penggulungan oleh presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

No comments:

Post a Comment