Tuesday 11 December 2012

TI-M SERU ORANG RAMAI PERANGI RASUAH






PROAKTIF.....Paul (memegang bendera) semasa acara ‘Walk Against Corruption’ anjuran TI-Malaysia di Kuala Lumpur 9 Disember 2012 lalu.

KUALA LUMPUR : Berikutan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2012, Transparency International (TI)-Malaysia menyeru orang ramai supaya meningkatkan penyertaan mereka dalam usaha memerangi rasuah.

Presidennya, Datuk Paul Low, berkata rakyat Malaysia perlu menyertai usaha itu dengan menambah pengetahuan masing-masing tentang kesan buruk rasuah terhadap negara dan individu.

Sambil menegaskan bahawa masyarakat perlu bertindak sebagai pengawas terhadap amalan rasuah, beliau berkata mereka juga perlu mengelak daripada menjadi pemberi dan penerima rasuah.

“Saya harap setiap warganegara akan sedar tentang perlunya rasuah dihapuskan dan pentingnya mereka mempertahan integriti masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara ‘Walk Against Corruption’ anjuran TI-Malaysia di sini hari ini.

Kira-kira 230 orang mengambil bahagian dalam acara jalan kaki itu yang bertujuan mempamerkan sokongan orang ramai terhadap usaha memerangi rasuah.

Transparency International mengumumkan bahawa Malaysia menambah baik kedudukannya dalam CPI dengan mencatat tempat ke-54 tahun ini, berbanding tempat ke-60 tahun lepas.

Malaysia mencatat 49 daripada 100 mata dalam kaji selidik yang diadakan bagi mengukur tahap tanggapan rasuah dalam sektor awam dalam kalangan 176 negara. (Bernama)

No comments:

Post a Comment