Friday 21 December 2012

SAPP BATU SAPI GOYAH






SANDAKAN: Kedudukan Parti SAPP Parlimen Batu Sapi terus goyah apabila salah seorang pemimpinnya bertindak keluar dari parti itu setelah hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti dari segi semua aspek.

Pengerusi Perhubungannya di kawasan Sekong, Haji Abdul Rashid Haji Mutalib mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai Umno bersama-sama dengan ahli jawatankuasa CLC dan penyokong-penyokong seramai 150 orang.

Tindakan Haji Abdul Rashid yang merupakan pemimpin masyarakat itu dibuat dihadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu majlis bersama rakyat di Kampung Lupak Meluas, dekat sini, baru-baru ini.

Turut menyaksikan kemasukan mereka secara beramai-ramai ini adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dari seluruh negeri Sabah.

“Saya meninggalkan parti SAPP disebabkan kerana wadah perjuangannya tidak selari dengan perjuangan saya. Sebab itu, saya telah berfikir panjang untuk membuat keputusan yang terbaik dengan bertindak keluar kerana sudah hilang kepercayaan dengan perjuangan parti ini.

“Saya tidak didesak atau ada orang yang menyuruh .. keputusan ini adalah atas kerelaan yang turut dibuat bersama-sama penyokong. Kami berpendapat bahawa hanya parti Umno yang bertunjangkan kerajaan BN saja mampu membela nasib rakyat jelata.

“Apalagi kepimpinan Umno yang sangat prihatin di bawah teraju Mohd Najib dan Musa selain wakil rakyat yang ada sekarang telah membawa banyak perubahan kepada kawasan Batu Sapi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terutamanya di kawasan terbabit agar memberikan sokongan yang lebih padu bagi memastikan BN mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Beliau meramalkan lebih ramai lagi ahli-ahli SAPP khususnya di kawasan ini akan mengikut jejak langkahnya untuk menyertai Umno kerana kepercayaan mereka terhadap parti tersebut semakin pudar.

No comments:

Post a Comment