Sunday 9 December 2012

PENDUDUK 8 KAMPUNG TUNGGU EHSAN MUSA






Oleh : JACKSON LU

KEMABONG: Penduduk di kawasan lapan perkampUngan dalan Zon Enubai meminta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman memberi penjelasan status memorandum bantahan mereka berhubung kerja-kerja persempadanan semula kawasan Hutan Simpan Mandalam-Tomani yang turut menjejaskan kawasan tanah milik persendirian yang telah pun bergeran.

Jurucakap mewakili perkampungan itu, Lasan Tandau, 47, yang juga Ketua Unit Pertubuhan Peladang Zon Enubai berkata, mereka kini tertunggu-tunggu jawapan daripada kerajaan berhubung memorandum bantahan penduduk berhubung perkara tersebut yang dihantar melalui ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang beberapa bulan lalu.

“Kami juga telah mengadakan bantahan menerusi media pada 8 Ogos 2012 untuk memaparkan lokasi kawasan sempadan baru yang diubah oleh Jabatan Perhutanan sebagai perhatian pihak tertentu, tetapi sempadan itu kami tidak pernah bersetuju.





“Kawasan Hutan Simpan hanya diwartakan sekitar tahun 1984 sedangkan permohonan tanah kami dibuat tahun 1983 melalui PT 78160050 dengan 60 peserta seluas kira-kira 900 ekar dan telah pun mendapat kelulusan pengukuran (SP/RSP).

“Namun kami kesal kerana setelah kebun kami mengeluarkan hasil, tiba-tiba kerajaan kata kami menceroboh kawasan Hutan Simpan. Kami tetap tidak berganjak untuk menuntut hak kami,” tegas beliau ketika memberitahu media.

Menurut Lasan, beliau hairan kenapa kerajaan terus berdegil dan enggan melayani rintihan rakyat yang turut menjejaskan masa depan anak cucu cicit mereka, terutama dari aspek sosio ekonomi kira-kira 3,000 penduduk yang memiliki tanah berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

Kata Lasan lagi, kawasan perkampungan yang terlibat seperti Kg Sinusut, Kg Labut, Kg Angalor, Kg Kandis, Kg Maugus, Kg Gumisi, Kg Saga dan Kg Patian.

Dalam pada itu, Lasan turut terkilan kerana beberapa kenyataan Ketua Menteri selepas itu terutamanya ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Bahagian UMNO Pensiangan dan Tenom yang diadakan di Dewan Sri Antanom pada 8 September 2012, menyatakan bahawa beliau telah mengarah Jabatan Perhutanan untuk menghentikan serta merta kerja-kerja persempadanan semula demi untuk mengkaji keperluan penduduk sekitar kawasan terbabit.

“Inilah yang kami harap harapkan agar Ketua Menteri itu mengotakan janjinya demi menjaga hak kesaksamaan kepada golongan berpendapatan rendah agar hak kami terus terpelihara demi masa depan anak cucu cicit kami,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment