Sunday 9 December 2012

PALESTIN, PBB & PAMPASAN PEPERANGAN







Oleh :  SYEIKHRYZ 

PADA 29 November 2012, Palestin telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘Non Member Observer State’, melalui United Nations General Assembly Resolution 67/19. 

Sebanyak 138 menyokong, 9 menentang dan 41 berkecuali.  Banyak pihak yang menyambut berita ini dengan penuh kegembiraan, atas alasan, akhinya Palestin sebagai sebuah ‘entiti politik’ diterima oleh PBB; selaku regim antarabangsa yang bertanggungjawab menyelaras hubungan antarabangsa kontemporari.

Bagaimanapun, berita ini tidak harus dipandang daripada aspek ‘penerimaan regim antarabangsa’ bahawa Palestin merupakan sebuah ‘entiti politik’, bahkan kita harus memperhalusi keputusan ini dengan lebih terperinci. 

PBB mungkin ‘mengakui’ kewujudan Palestin, namun belum tentu mahu ‘menerima dan mengiktirafnya’ sebagai sebuah negara yang berdaulat dalam erti kata mempunyai 4 elemen utama iaitu: Rakyat (People), Kawasan (Territory), Kerajaan (Government) dan Kedaulatan (Sovereignty). 

Berdasarkan pemerhatian penulis, PBB hanya mengakui Palestin dalam erti kata 3 elemen sahaja iaitu Rakyat, Kerajaan dan Kawasan. Mereka tidak pernah mengakui elemen keempat yang perlu ada pada Palestin iaitu Kedaulatan.

Berdasarkan hal ini, Palestin diberikan status ‘Non Member Observer State’ yang membolehkan mereka mengambil bahagian dalam perbahasan, menandatangani resolusi namun tanpa mempunyai hak untuk mengundi.  Hal ini samalah seperti anda diberikan hak untuk mengakui sesuatu dokumen (sama ada memberikan manfaat atau kerosakan kepada anda) tanpa mempunyai hak untuk membantah-menolak kandungannya. 

Pada hemat penulis, hal ini terjadi kerana PBB hanya mengakui Palestin sebagai sebuah ‘entiti politik’ tanpa ada kedaulatan yang sepatutnya dipunyai oleh sesebuah negara.

Namun, perkara pokok yang ingin penulis bahaskan di sini bukanlah mengenai kewajaran Palestin diterima sebagai ‘observer’, namun lebih kepada membawa penulis melihat bahawa pengiktirafan ini sekadar untuk menguatkan hegemoni Negara imperialis-kapitalis seperti USA & Israel keatas penduduk Palestin melalui ‘pembantu mereka yang setia’ iaitu FATAH. 

Perlu kita sedari, penerimaan Palestin di PBB hanyalah salah satu pelan strategik USA dan Israel untuk membantu menaikkan kembali ‘keyakinan’ rakyat Palestin terhadap FATAH dan seterusnya menunjukkan kepada mereka bahawa pilihan dan sokongan mereka terhadap HAMAS adalah silap.

‘Pieces partner’ not ‘peace partner’

FATAH sejak daripada hari majlis menandatangani perjanjian Oslo 1993, telah berubah daripada sebuah organisasi yang berjuang untuk kemerdekaan Palestin kepada sebuah organisasi yang menumpahkan taat setianya kepada kuasa imperialis global.  Melalui pemeriksaan penulis ke atas data pengganas di National Consortium for the Study of Terrorism and Response to Terrorism
http://www.start.umd.edu/start/data_collections/tops/terrorist_organization_profile.asp?id=128
yang berpusat di University of Maryland, Fatah telah dikeluarkan daripada senarai pengganas antarabangsa (Foreign Terrorist Group) oleh US Department of State
http://www.state.gov/j/ct/rls/crt/2007/103714.htm 

Bagaimanapun, kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin iaitu HAMAS, masih kekal tersenarai sebagai organisasi pengganas antarabangsa oleh kerajaan US.

Dalam situasi politik domestik Palestin ketika ini, kita perlu memahami bahawa mereka berhadapan dengan masalah kepimpinan dalam Palestine National Authority (PNA) yang seharusnya bertindak sebagai sebuah badan pentadbir bagi kawasan Gaza dan Tebing Barat. 

Pasca Perjanjian Oslo 1993, PNA telah menerima dana pembangunan bernilai berbillion US Dollar daripada USA dan European Union (EU) serta cukai yang dikutip oleh pihak Israel bagi pihak PNA. Penyaluran dana ini adalah sebagai tanda terima kasih dan pampasan perang (war reparation cost) kepada PNA yang diketuai oleh almarhum Yaser Arafat. 

Perlu juga kita fahami bahawa pasca Perjanjian Oslo 1993, PNA dikuasai oleh FATAH.  Ini merupakan balasan kepada kesediaan FATAH untuk mengugurkan tuntutan perjuangan ‘1 state solution’ dan bersedia memilih kaedah ‘2 States Solution’ serta mengiktiraf kewujudan Israel di bumi Palestin.

Di antara komponen organisasi yang bernaung di bawah Palestine Liberation Organization (PLO) yang menolak Perjanjian Oslo 1993 ialah organisasi kedua terbesar dalam PLO iaitu Popular Front for Liberation of Palestine (PFLP) yang beraliran Marxism-Lenininsm (sehingga memulaukan Pilihanraya 1996). 

Hal ini terjadi kerana PFLP sejak daripada dahulu sememangnya konsisten terhadap idea ‘1 state solution’.  Kesediaan FATAH untuk melunakkan perjuangan mereka dilihat sebagai ‘stake holder’ yang berpotensi besar untuk dijadikan rakan kongsi perdamaian (peace partnership) oleh Israel dan USA dalam isu konflik Palestin. 

Berikutan itu, berbanding dengan 9 organisasi gabungan PLO yang lain, hanya FATAH yang dipilih untuk menguasai PNA dan seterusnya meneruskan legasi perkongsian perdamaian di antara Palestin-Israel.

Pilihan Raya 2006 & Kebangkitan Hamas

Walaupun keharmonian percaturan neo-imperialis global berjalan sempurna seperti yang dirancang, namun ia terganggu pada tahun 2006 apabila HAMAS berjaya memenangi Pilihan Raya Palestine Legislative Council (PLC) dengan menguasai 74 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan. 

Berikutan itu, secara automatiknya, HAMAS dipilih sebagai kerajaan yang sah bagi mentadbir kawasan Gaza dan Tebing Barat. Namun, kemenangan HAMAS (yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas antarabangsa) tidak diiktiraf oleh regim antarabangsa dan implikasinya dana yang selama ini disalurkan kepada PNA telah disekat (hanya disambung semula setelah Perdana Menteri pilihan Abu Mazen iaitu Salam Fayyad dilantik menggantikan Ismail Haniyeh dari HAMAS).

Kekalahan FATAH ini dilihat dengan penuh kebimbangan oleh Israel dan USA kerana ia bermaksud mereka akan kehilangan sekutu yang paling setia di Palestin (sikap toleransi FATAH terhadap Israel dapat dilihat kepada tindakan mereka menyerahkan Setiausaha Agung PFLP, Ahmad Sa’adat kepada Israel). 

Berdasarkan hal ini, suatu coup d’ etat  telah dirancang bagi menggulingkan kerajaan HAMAS.  Bermula dengan sekatan ke atas dana antarabangsa, sehinggalah kepada tindakan terakhir iaitu Presiden Mahmod Abbas (Abu Mazen) memecat Ismail Haniyeh daripada kerajaan dengan digantikan oleh Salam Fayyad (yang pertinya iaitu Third Way hanya menguasai 3 kerusi di PLC) sebagai Perdana Menteri baru Palestin. 

Kelemahan Salam Fayyad dalam pentadbiran terserlah bilamana beliau tidak mampu bertindak sebagai mediator dalam konflik bersenjata di antara FATAH dan HAMAS pada tahun 2007. 

PFLP selaku organisasi kedua terbesar dalam PLO mengkritik kelemahan beliau dan menyatakan beliau hanyalah boneka yang menurut perintah Presiden Abu Mazen.  Implikasinya, Palestin terpecah kepada dua pentadbiran iaitu Gaza yang dikuasai oleh HAMAS dan Tebing Barat yang dikuasai oleh FATAH.

Krisis Kepimpinan Dalaman PNA & Penerimaa Status PBB

Pada saat ini, secara teknikalnya PNA mempunyai dua Perdana Menteri (Ismail Haniyeh di Gaza dan Salam Fayyad di Tebing Barat) serta dua Presiden (Abu Mazen di Tebing Barat dan Aziz Duwaik di Gaza).

Perlu dijelaskan disini bahawa tempoh Abu Mazen sebagai Presiden telah tamat pada tahun 2009 dan tiada Pilihan Raya diadakan untuk memilih presiden baru) Berdasarkan hal ini, penulis sedari awal mengusulkan tesis bahawa penerimaan Palestin ke dalam PBB sebagai ‘Non State Members Observer’ merupakan suatu pelan strategik oleh Israel dan USA untuk membantu memulihkan keyakinan rakyat Palestin terhadap FATAH. 

Mereka mahu mewujudkan persepsi dikalangan masyarakat Palestin bahawa hanya FATAH yang mampu mewakili suara mereka di peringkat antarabangsa (bahkan berjaya dalam usaha mendapat pengiktirafan PBB). 

Hal ini seolah-olah Israel dan USA mahu memberikan mesej kepada rakyat Palestin bahawa mereka perlu berhati-hati dalam memilih wakil dan tidak mengulang kesilapan yang mereka lakukan dalam Pilihan Raya PLC 2006.

Penerimaan Palestin sebagai ‘pemerhati’ di PBB secara tidak langsung (menurut sifir politik Israel & USA) akan memulihkan keyakinan rakyat Palestin terhadap FATAH dan seterusnya mampu membantu FATAH untuk muncul sebagai ‘sole representative of Palestine’ di peringkat antarabangsa. 

Akhirnya, legasi rakan perdamaian (peace partnership) akan dapat diteruskan di wilayah bergolak tersebut bila mana tuntutan ‘1 state solution’ akan dihapuskan terus daripada lipatan sejarah perjuangan rakyat Palestin. 

Dalam pada masa yang sama, penulis yakin bahawa kuasa imperialis global akan terus meredam sebarang penentangan oleh faksi lain dalam Palestin seperti PFLP dan parti-parti kiri dan Islamis yang lain. 

Operasi menculik dan membunuh pemimpin yang menentang akan terus dilaksanakan.  Untuk rekod, PFLP terus dilumpuhkan dengan pemenjaraan pemimpin atasan mereka termasuk Setiausaha Agungnya iaitu Ahmad Sa’adat di penjara Israel.

Sekali lagi penulis tegaskan, penerimaan Palestin sebagai ‘pemerhati’ dalam PBB hanyalah agenda percaturan kuasa oleh Neo-Imperialis global di wilayah bergolak tersebut. 

Tidak sukar untuk kita memahami startegi ‘pecah & perintah’ (divide & rule) yang telah dilaksanakan lama sejak era ‘Pax Britannica’ lagi sebagai usaha untuk memecahkan solidariti dalam kalangan rakyat Palestin untuk berjuang bagi mendapatkan hak mereka yang dirampas. 

Tanpa pengakuan ‘kedaulatan’ Palestin sebagai sebuah Negara, penerimaan status ‘pemerhati’ di PBB hanyalah suatu pampasan peperangan (war reparation cost) oleh kuasa imperialis global terhadap rakyat Palestin.

No comments:

Post a Comment