Saudara Pengarang,
20 TAHUN yang lepas
kebanyakan Kaum Brunei, Kedayan dan penganut agama Islam suka merujuk diri
mereka sebagai 'Melayu' atas beberapa sebab; terutama berdasarkan tafsiran 'Melayu'
di dalam Perlembagaan Persekutuan, wwalaupun pada dasarnya tersasar daripada
tafsiran rakyat Sabah.
Suku kaum Brunei
(Warganegara Malaysia) dan suku kaum Kedayan lebih selesa merujuk diri mereka
sebagai 'Orang Melayu' atas dasar suku kaum Brunei dan Kedayan kurang dikenali
di Sabah.
Pada masa yang sama, secara
kebetulan mereka beragama Islam dan dari segi sejarah, mereka juga menggunakan
bahasa Melayu yang hampir serupa dengan bahasa Melayu yang digunakan di nusantara
ini.
Begitu juga dengan kaum-kaum
lain seperti Kadazan, Dusun, Murut yang kebanyakannya mereka tidak beragama
Islam. Apabila mereka menganut agama Islam, mereka lebih selesa mengaku sebagai
'Melayu' atas dasar yang mereka sudah Islam dan berbeza agama dengan majoriti
agama dari suku kaum mereka.
Selain faktor-faktor di
atas, borang-borang rasmi kerajaan, sekolah-sekolah dan syarikat swasta tidak
menyebut suku kaum Brunei dan Kedayan dalam pilihan suku kaum.
Bagi mengelakkan dimasukkan
ke dalam kategori 'Lain-lain', maka mereka terpaksa memilih suku kaum yang terdekat
iaitu 'Melayu'. Saya masih ingat beberapa tahun lalu semasa mengisi borang
laporan di Balai Polis, suku kaum Brunei dan Kedayan tidak ada dalam senarai
suku kaum, tetapi suku kaum Bugis dan suku kaum dari negara Filipina ada dalam
senarai pilihan suku kaum.
Begitu juga dengan pembelian
tanah berstatus 'Native Title' (NT) hanya dibenarkan bagi pihak yang mana ibu
dan bapa mereka mesti berasal dari suku kaum Anak Negeri Sabah, tetapi 'Melayu'
tidak diiktirafkan sebagai 'Anak Negeri Sabah'.
Oleh itu, bagi rakyat Sabah yang
sebelum ini menggunakan kaum 'Melayu' sebagai suku kaum wajar memperbetulkan
keadaan ini dengan mendapatkan surat pengesahan rasmi dari Mahkamah Anak Negeri
dan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
Manakala bagi
jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kita berharap agar lebih
prihatin untuk menerangkan implikasi kesalahan penggunaan suku kaum dalam
mana-mana borang rasmi kerajaan.
Mereka yang terlibat
seharusnya lebih pro-aktif bagi menyediakan borang agar suku kaum Anak Negeri
Sabah seharusnya diasingkan dengan suku kaum lain yang ada di Malaysia bagi
mengelakkan dari sebarang masalah pada masa hadapan dan ini akan memudahkan
bagi semua pihak.
Salam Hormat,
NOOR HALIM ZAINI
No comments:
Post a Comment