Sunday 2 December 2012

KEWIBAWAAN NAJIB MAKIN TERSERLAH






Oleh : SHAIMON S JUMADI


UCAPAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO pada Khamis lepas disifatkan sebagai penuh wibawa, bernas dan prihatin terhadap semua kaum di negara ini.

Pengerusi Eksukutif Pertubuhan Peniaga-Peniaga dan Usahawan Negeri Sabah (PPUS), Abidin Syukor, menyifatkan Najib sebagai pemimpin berjiwa rakyat di celah kemelut rasis yang cuba dimainkan pembangkang; tetapi teguh dengan pendirian memartabatkan Islam sebagai agama rasmi dan dalam masa yang sama tidak meminggirkan kepentingan kaum lain yang menganut pelbagai agama.

"Inilah pemimpin yang kita inginkan kerana benar-benar bertanggungjawab dalam memastikan rakyat terus terbela. Setiap perincian dalam ucapan beliau semuanya menjurus kepada kepentingan seluruh rakyat," katanya kepada Sabahkini.net semasa sidang akhbar di pejabatnya, kelmarin.

Sehubungan itu, Abidin selaku Pengerusi Persatuan Pengimport dan Pengeksport Sarang Burung Walit Sabah (PESAWAS) mengajak rakyat terutama di negeri ini mempertahankan kerajaan sedia ada demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik.

Beliau tidak menafikan keupayaan pihak pembangkang, tetapi hakikatnya jelas terbukti bahawa mereka tidak mampu apatah lagi ingin membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Beliau menyifatkan sokongan kepada pembangkang seolah-olah memperjudikan masa hadapan kerana sesungguhnya tidak disangkal lagi sifat pembangkang yang didakwa cuba bersekongkol dengan pihak luar, sekali gus memberi persepsi tidak baik kepada negara yang berdaulat ini.

"Kita tidak mahu Malaysia ditadbir pembangkang yang halatujunya tidak jelas, selain kepimpinan mereka nampak macam tidak sekata terutama usaha segelintir mereka membuka pintu pihak luar mencampuri urusan dalam negara ini.

"Ini kita tidak dapat terima sama sekali memandangkan ia tidak selari dengan kehendak dan aspirasi rakyat negara ini. Jika dibandingkan dengan pemerintahan BN semenjak lebih 50 tahun telah membawa banyak perubahan; bukan sahaja dari segi pembangunan, tetapi paling penting jalinan muhibbah di kalangan berbilang bangsa dan anutan agama terus bertambah kukuh," tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) menghargai sokongan padu rakyat dengan tidak hanya tertumpu pada pemimpinnya dalam soal mendapatkan pandangan tetapi perlu juga mengambil kira pandangan masyarakat di peringkat akar umbi.

Sebagai contoh, katanya, pemimpinan parti boleh mendapatkan pandangan dari kalangan peniaga dan pelajar institusi pengajian tinggi kerana golongan inilah akhirnya membantu BN di saat-saat akhir.

"Saya bukan berniat untuk mengajar tetapi hakikatnya benar belaka; yakni golongan ini tidak harus dipinggirkan. Panggilah mereka kerana siapa tahu mampu memberi input berguna dalam usaha kerajaan memperkukuhkan kedudukannya.

"Yang kita takut sekiranya golongan berkenaan diabaikan, memungkinkan mereka terpengaruh dengan dakyah dan tohmahan pembangkang yang sekarang ini terus-terusan memburukkan kerajaan demi kepentingan politik sempit," ujarnya.

Dalam konteks itu, beliau turut mengharapkan pemimpin Umno khususnya melipatgandakan usaha untuk turun padang dalam usaha mengenal pasti sebarang permasalahan mahu pun keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Abidin mencadangkan agar dibentuk satu Jawatankuasa Pemantau sama ada di kawasan perumahan, taman-taman atau kampung-kampung bagi membolehkan pemimpin atasan seperti wakil rakyat akan dapat mengetahui lebih mendalam setiap permasalahan rakyat.

"Mereka yang mengetuai jawatankuasa ini bukan di kalangan orang politik atau mereka yang berjawatan, tetapi kita mahu setiap penduduk dijemput sama supaya semua pihak mendapat manfaatnya," katanya.

No comments:

Post a Comment