Wednesday 12 December 2012

KENAPA JALAN KG. MELAPI TIDAK DITURAP





TELUPID: Ekoran keadaan jalan raya yang diturap tidak seperti yang diharapkan, masyarakat kampung di Kampung Melapi, Telupid yang kesal mengenai jalan itu, menyuarakan ketidakpuashatian mereka.

Seorang penduduk, John Lingka, 42 tahun berkata jalan itu yang dibuat oleh kontraktor dari luar kira-kira lima bulan lalu itu kini telah diaspal lebih kurang sejauh 3 kilometer, namun katanya projek itu seperti dibuat secara ‘alang-alang’.

“Yang menghairankan kami, kenapa jalan itu diaspal seperti ‘tahi ayam di atas tangga’ dan masih banyak lagi kerosakan di sana-sini?,”.

Beliau yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah memberitahu, kira-kira dua batu lagi jaraknya jalan di kampung itu yang belum diturap.

“Adakah peruntukan untuk membaiki jalan itu hanya setakat di situ sahaja? Jika tidak, di mana perginya peruntukan yang lain itu?,” soal beliau tegas.

Ditanya mengenai masalah yang timbul akibat jalan berlubang seperti kubang kerbau dan becak ketika musim itu, paling ketara adalah masalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Beliau kemudiannya mempersoalkan keadaan itu dengan mengungkit kembali slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ dan ‘janji ditepati’ sedangkan rata-rata mereka di situ majoritinya merupakan pengundi Barisan Nasional (BN).

“Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, kemungkinan besar masyarakat di sini akan berubah hala kepada pihak pembangkang!,” tegas beliau lagi.

Justeru, mereka berharap dengan penyebaran perkara itu kepada pihak media, kerajaan sekarang ini dapat menyelesaikan masalah itu kerana kerosakan pada jalan raya tersebut amat menyukarkan mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Kalau boleh pihak berkaitan terutamanya Wakil Rakyat di sini juga dapat memantau keadaan jalan kami supaya ada tindakan lanjut.

Menurut sumber daripada John sendiri, kampung itu mempunyai kira-kira 100 penduduk.

No comments:

Post a Comment