Monday 31 December 2012

HENTIKAN TUNTUTAN KESAMARATAAN AGAMA






KUALA LUMPUR : Orang yang bukan beragama Islam harus menghentikan tuntutan penggunaan nama “Allah” sebagai rujukan kepada tuhan memandangkan perkataan Arab itu adalah fundamental kepada kepercayaan Islam, dan eksklusif kepada orang Islam, kata bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu.

Ismail berkata dalam perdebatan terbaru mengenai perkataan Arab untuk tuhan yang mencetuskan pertikaman lidah antara PAS dan rakan sekularnya DAP, bakal menjadi topik hangat menjelang pilihan raya akan datang.

“Enough is enough, cukuplah dengan segala dasar yang lain, termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan telah dituntut untuk disamaratakan, diberikan hak sama rata, sama rasa di antara rakyat tanpa mengira sebarang latar belakang sosial, ekonomi dan agama, maka hak dalam menghayati konsep ketuhanan dalam agama ini, janganlah direbutkan, dicabar dan dimanipulasikan begitu rupa.

“Nama Allah, dari sudut falsafah, dari segi takrif dan konsepnya tidak sama dengan 'Tuhan', 'God', 'Lord' dan sebagainya tidak sama dalam penggunaan agama lain,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Ismail kemudian menerangkan bahawa penggunaan nama “Allah” tidak seharusnya digunakan dalam Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia kerana faktor bahasa dan perbezaan budaya.

Beliau memberi contoh bahawa orang Arab boleh gunakan perkataan “Wallahi” seberapa banyak yang mereka mahu dalam perbualan biasa tetapi kata itu berbeza dengan orang Islam di Malaysia dalam bahasa yang berbeza dan ini berbeza antara sumpah biasa dan terma Syariah yang diterangkan dalam Quran.

"Maka demikianlah juga dengan penggunaan nama Allah yang cuba dibandingkan dengan penggunaannya di dalam bahasa lain, khususnya bahasa Arab, sesungguhnya perbandingan ini haruslah difahami dari sudut linguisitik dan budaya bahasa itu sendiri antara bahasa Melayu dan bahasa Arab,"

Tidak menamakan mana-mana pihak, beliau meminta agar pihak yang cuba memperjuangkan nama "Allah" untuk agama Kristian supaya menghentikannya. Kristian di Malaysia berjumlah 9.2 peratus dari penduduk yang berjumlah 28.3 juta orang, dengan kebanyakan di Malaysia Timur menggunakan Bahasa Melayu dan menggunakan Allah sebagai rujukan untuk Tuhan mereka.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kedua belah pihak telah bercanggah pendapat berkenaan dengan perkataan "Allah", dengan umat Islam berpendapat nama tersebut haruslah ekslusif untuk mengatakan Islam ialah agama monoteistik dan Allah merujuk kepada agama untuk orang Islam.

Dari segi undang-undang penggunaan nama Allah kekal tidak dapat diselesaikan, dengan Gereja Katolik masih dihalang dari menggunakan perkataan tersebut dalam akhbar mingguan mereka walaupun mahkamah sudah membenarkannya pada 31 Disember 2009.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri memfailkan rayuan pada Januari 2010 untuk menentang keputusan Mahkamah Tinggi, yang sejak hari itu tidak ada tarikh untuk sesi pendengaran.

Tahun lalu, penghantaran kitab Injil Alkitab untuk Bumiputera beragama Kristian, dihalang dan dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan ditekan untuk membenarkan buku tersebut diedarkan.

No comments:

Post a Comment